MELAKA 29 Ogos - Mulai 1 September ini, perkhidmatan kutipan sisa pepejal dua campur satu (2+1) akan dilaksanakan bagi seluruh kawasan di bawah Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ).
Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) negeri, Ir. Zainuddin Abdul Samad berkata, perkhidmatan sistem 2+1 itu meliputi dua kali kutipan sisa isi rumah dan sekali kutipan kitar semula dan sampah pukal.
"Pelaksanaan sistem ini dapat menerapkan konsep 3R iaitu pengurangan sisa, guna semula sisa dan kitar semula sisa dalam kalangan penduduk di negeri ini.
"Penduduk digalakkan mengamalkan sistem ini dan mengasingkan sisa yang boleh dikitar semula di rumah atau sisa taman dari kawasan rumah untuk dikutip pada hari yang akan ditetapkan dalam satu minggu.
"Jadual kutipan akan diedarkan dalam masa terdekat ke kawasan-kawasan perumahan," katanya pada sidang akhbar di pejabat PPSPPA negeri di Bangunan Graha Maju sini baru-baru ini.
Kata Zainuddin, amalan pengasingan sisa secara tidak langsung akan dapat mengurangkan jumlah sampah yang dilupuskan di tapak-tapak pelupusan dan dapat dikitar semula bagi melestarikan alam sekitar.